Dr Mariani Abdul Hamid – Pengasas Dermags Beauty Skin Care

Dr Mariani Abdul Hamid merupakan seorang saintis, usahawan muda dan juga dikenali sebagai pensyarah kanan di Universiti Teknologi Malaysia.
Beliau mula mengasaskan Bio-Pro Resources Sdn Bhd pada tahun 2004. Dilahirkan pada 20 Oktober 1977 di Sik, Kedah yang terletak di semenanjung Malaysia.
Bapa Dr Mariani, Abdul Hamid Bin Ahmad adalah seorang pencen kerajaan dan berkahwin dengan Puan Som binti Osman yang merupakan seorang guru KAFA di Sekolah Kebangsaan Batu 5. Dr Mariani mempunyai dua orang adik lelaki yang bernama Muhammad Khairil Anuar, Mohd Safuan, dan seorang adik perempuan yang bernama Nor Ashikin.
Suasana keluarga Encik Abdul Hamid sangat harmoni dan rapat di antara satu sama lain di mana anak-anaknya dididik untuk mematuhi dan menghormati arahan ibu bapa sejak kecil.
Sebagai bapa, Encik Abdul Hamid mengambil serius tanggungjawabnya sebagai seorang ayah untuk mendidik anak-anaknya menjadi manusia berguna dan mengambil disiplin sebagai elemen penting di dalam rumah tangga.
Beliau juga akan menyediakan jadual untuk anak-anaknya dan mereka dilatih supaya bangun di waktu pagi untuk berjemaah bersama-sama sebelum bersiap sedia ke sekolah.
Sebagai anak sulung dalam keluarga, Dr Mariani menunjukkan minat yang mendalam terhadap pendidikan
terutamanya setelah beliau lulus dengan cemerlang di dalam hampir kesemua subjek di sekolah dan sering mendapat tempat ketiga terbaik di dalam kelas.
Dr Mariani merupakan seorang anak yang sangat rapat dengan ibunya. Malah, minat Dr Mariani dalam bidang perniagaan diransang oleh ibunya sendiri ketika beliau sering kali membantu ibunya membuat biskut untuk dijual dikalangan guru sekolah.
Justeru, pengalaman pertama beliau dalam bidang perniagaan bermula sejak beliau berumur tiga belas tahun ketika beliau sedang menuntut di sekolah asrama, Sekolah Menengah Sultan Badlishah, Kulim yang terletak kira-kira 90 kilometer dari rumahnya.
Memandangkan beliau berjauhan daripada keluarga, Puan Som akan menghantar biskut dan makanan ringan dalam jumlah yang agak banyak kepada beliau untuk dijual kepada rakan-rakannya di asrama.
Keuntungan daripada jualan tersebut akan digunakan sebagai duit saku sepanjang beliau berada di sekolah. “Rakan-rakan saya sangat menggemari biskut. Apabila lapar, mereka akan mencari saya dan membeli biskut daripada saya”. Dr Mariani menceritakan pengalaman pertama beliau dalam bidang perniagaan.
Selepas menghabiskan waktu persekolahan, Dr Mariani mengambil keputusan untuk berdikari. Berbekalkan sedikit duit simpanan yang ada, beliau mengemas barang-barangnya dan berhijrah ke Pulau Pinang untuk berkerja di sebuah kilang selama beberapa bulan sementara menunggu keputusan SPM.
Walaupun gaji beliau pada ketika itu hanya RM800 sebulan, beliau berjaya meneruskan kehidupan berjauhan dengan keluarga, membayar bil disamping menghantar duit ke kampung bagi meringankan beban keluarga. Fasa tersebut telah mengajar Dr Mariani erti hidup berdikari dan menyedari bahawa tanpa wang ringgit atau kenalan, cara yang paling mudah untuk berjaya adalah melalui pendidikan dan usaha yang tinggi.
Pada awal zaman persekolahannya, Dr Mariani dikenali sebagai bintang kecil kerana minat beliau yang sangat mendalam menimba ilmu. Beliau mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Sik dan cemerlang dalam hampir keseluruhan matapelajaran terutamanya di dalam bidang Matematik dan Sains.
Sebagai seorang pelajar yang bijak dan mempunyai kemahiran berfikir yang tinggi, beliau telah menunjukkan keputusan yang cemerlang di dalam ujian Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
Seterusnya beliau juga ditawarkan biasiswa oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk melanjutkan pelajaran di peringkat universiti. Kalau sudah jodoh tidak ke mana, beliau berjumpa dengan suaminya, Dr Wan Rosli Bin Wan Sulaiman, di Universiti Teknologi Malaysia ketika sedang menuntut dalam bidang Kejuruteraan Kimia. Setelah tamat belajar, pasangan hebat ini berkahwin pada tahun 2005 dan dianugerahkan tiga cahaya mata yang sangat
comel iaitu Wan Nur Amiera Aqiela, Wan Nur Atiera Irdina, dan Wan Nur Adiera Adriana.
Pada tahun 2007, Dr Mariani melanjutkan pelajarannya dalam bidang Kejuruteraan Bioproses (Ijazah Sarjana) manakala pada masa yang sama, Dr Wan Rosli menerima ijazah sarjana beliau daripada Imperial College London, United Kingdom. Pada tahun 2009, pasangan tersebut mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran mereka di Universiti Dongguk, Korea Selatan. Di bawah penyeliaan Professor Dr. Chang Seo Park, Dr Mariani
dianugerahkan segulung ijazah PhD dalam bidang Kejuruteraan Kimia.
Selama tiga tahun beliau berada di Korea, beliau amat tertarik dengan kehidupan masyarakat Korea yang mementingkan disiplin dan menepati masa. Bekerja lebih masa sehingga lewat malam adalah satu kebiasaan dikalangan pelajar pascasiswazah. ‘Saya memanfaatkan setiap minit untuk menimba ilmu dan melakukan penyelidikan di makmal’ tegas beliau menceritakan kehidupan di Korea.
Dengan kerajinan dan keazaman yang tinggi, beliau sekali lagi menunjukkan prestasi yang cemerlang di negara asing dan mendapat markah keputusan 4.35/4.5 dalam ujian pencapaiannya di Korea. Pada tahun 2012, Dr Mariani mula bekerja di Institut Pembangunan Bioproduk (IBD), di Universiti Teknologi Malaysia sebagai pensyarah kanan.
Tiga tahun berada di Korea bukanlah perkara mudah bagi pasangan Dr Wan dan Dr Mariani. Disebabkan perbezaan mata wang yang agak tinggi, mereka terpaksa berjimat-cermat dan menetap di sebuah rumah kecil yang hanya bersaiz 20 kaki persegi.
Situasi tersebut mencetuskan idea untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan. Berbekalkan sedikit pengalaman beliau dengan menjual biskut pada zaman persekolahan, beliau menjual produk kosmetik korea untuk pengguna di Malaysia.
Perniagaan tersebut dikendalikan oleh beliau sendiri dan membekalkan hanya beberapa produk
Korea seperti Laneige, IOPE dan Mamonde.
Walau bagaimanapun, perniagaan yang kecil-kecilan itu mendapat sambutan yang memberansangkan dan beliau mula membekalkan lebih banyak rangkaian produk korea sehingga berjaya mencatat jualan sebanyak 20 ke 30 ribu sebulan. Hal ini telah menimbulkan inspirasi kepada beliau bahawa industri kosmetik adalah salah satu industri yang mudah maju bagaikan cendawan yang tumbuh selepas hujan.
Setelah beberapa tahun mengendalikan penyelidikan untuk projek PhD beliau di Korea, beliau mendapati bahawa alpha-mangostin yang diekstrak daripada kulit manggis merupakan sebatian antioksida yang kuat dan mampu untuk menghalang proses penghasilan melanin dalam sel melanoma B16F1. Sebatian tersebut juga berpotensi untuk diaplikasikan sebagai agen pemutih di dalam kosmetik industri.
Sementelah itu, beliau berazam untuk mengambil cabaran dan memberi impak kepada masyarakat dengan memulakan perniagaan berasaskan alpha-mangostin. Seperti yang kita lihat, industri kosmetik di Malaysia adalah satu perkara biasa, di mana media massa di Malaysia dipenuhi dengan artis tempatan yang berdarah campuran seperti Diana Danielle, Nora Danish dan Maya Karin yang kian menular mentalitinya dikalangan masyarakat
melayu bahawa mereka haruslah berkulit cerah untuk kelihatan cantik.
Maka, sekembalinya beliau ke Malaysia pada tahun 2012, beliau menghabiskan masa selama beberapa bulan untuk mencipta prototaip daripada alpha-mangostin dan mengasaskan Bio-Pro Resources Sdn Bhd pada tahun 2014.
Hasil titik peluh beliau ternyata tidak sia-sia apabila alphamangostin telah menular sehingga digunakan sebagai agen pencerah kulit yang ternyata berkesan dan selamat digunakan.

Pada tahun 2014, Bio-Pro Resources Sdn Bhd telah melancarkan rangkaian produk pertama iaitu Dermags®. Dermags® adalah kombinasi daripada dua perkataan iaitu ‘derm’ dan ‘mags’. Derm berasal daripada perkataan latin yang membawa maksud kulit kerana objektif produk tersebut adalah membaik pulih kulit, manakala“mags’ pula mewakili alpha-mangostin sebagai bahan utama produk. Logo Dermags® pula adalah simbol tampuk buah manggis, manakala slogan ‘A gift from nature’ menunjukkan bahawa produk ini mengaplikasikan bahan-bahan semula jadi tanpa bahan kimia yang merbahaya.
Produk pertama mereka adalah Intensive Brightening Serum yang juga merupakan produk tempatan pertama yang menggunakan alpha-mangostin sebagai bahan aktif utama. Bagi memenuhi permintaan komuniti muslim di Malaysia, Dermags® menyediakan produk kecantikan yang selamat dan halal yang terdiri daripada bahan-bahan semula jadi.
Sehubungan itu, DERMAGs® menggunakan teknologi niosome sebagai pembawa bahan aktif nano bagi membantu bahan aktif menembusi lapisan kulit sekali gus memastikan keberkesanan produk. Penyelidikan dan pembangunan yang mengambil masa beberapa tahun dijalankan dengan penuh etika bagi memastikan pengguna mendapat pengalaman yang berbaloi.
Syarikat tersebut memulakan perniagaan dengan hanya mengupah seorang pekerja dan mengamalkan konsep bisnes kepada pelanggan. Tatkala itu, Bio-Pro Resources Sdn Bhd hanya membelanjakan sedikit keuntungan untuk publisiti seterusnya memberi peluang kepada kualiti produk untuk menjadi buah mulut orang ramai. Media sosial adalah medium utama bagi memperkenalkan produk kepada konsumer.
Walau bagaimanapun, menyedari strategi terbaik marketing adalah melalui kenalan dan peluang jualan, Bio-Pro Resources Sdn Bhd sering kali menyertai pelbagai pameran dan persidangan antarabangsa. Berlatar belakangkan penyelidikan, hasil jualan Dermags® meningkat dan semakin dikenali di kalangan pengguna Malaysia. Sambil melangkah kehadapan, pada tahun 2015, Dermags® telah mengembangkan rangkaian produk dengan pelancaran Intensive Whitening Cleanser dan Intensive Brightening Skin Softener sebagai melengkapi pakej pencerahan kulit untuk konsumer.
Pada tahun berikutnya, Bio-Pro Resources Sdn Bhd melancarkan dua produk tambahan iaitu; BB cushion dan Intensive Hydrating Moisturizer yang menjadi sumber utama syarikat untuk teguh berdiri. DERMAGs® juga dijangka akan melancarkan Pure Skin Lipstick dan Eau De Parfum pada tahun 2018.
Sejak kebelakangan ini, pelbagai syarikat kosmetik yang mengambil langkah berani untuk memasarkan produk mereka seperti produk menguruskan badan, pewangi badan, penjagaan kulit mahupun rangkaian produk selepas bersalin. Maka pada tahun 2016, bagi memastikan Bio-Pro Resources Sdn Bhd kekal dalam kedudukan selesa dalam industri, Dr Mariani telah melancarkan pelbagai produk kesihatan seperti produk yang boleh merawat parut
dan kesan luka serta make up.
Tambahan lagi, bagi memenuhi kehendak pelanggan, Bio-Pro Resources Sdn Bhd telah mengubah strategi perniagaan dan mempromosikan dengan mengaplikasikan konsep bisnes ke bisnes; di mana konsep bisnes yang melibatkan pengeluar, pemborong dan peruncit. Setelah berjaya menembusi pasaran luar negara seperti Brunei dan Singapura.
Dr Mariani juga mempunyai rancangan untuk menembusi pasaran Timur Tengah dan China dalam masa terdekat. Bermula dari syarikat yang kecil, pada tahun 2017 Bio-Pro Resources Sdn Bhd telah diiktiraf sebagai syarikat pengeluar bertaraf GMP; iaitu suatu sistem yang akan memastikan kualiti produk adalah terjamin.
Pada tahun 2017, syarikat beliau telah mempunyai enam pekerja terlatih yang sangat komited dan efisien. Menjadi seorang usahawan tanpa latar belakang perniagaan merupakan tanggungjawab yang sangat mencabar, namun bagi Dr Mariani untuk kekal cekal menghadapi cabaran dan bangun melawan arus demi mencapai kejayaan adalah sesuatu yang harus diharungi dengan tabah dan sabar.
Dengan matlamat untuk majujaya, organisasi tersebut berkembang dan mampu kekal maju untuk bersaing dengan syarikat-syarikat yang lain.
Walaupun kegagalan diibaratkan sebagai asam garam dalam perniagaan, namun Dr Mariani berpegang teguh dengan kata-kata seorang pakar psikologi terkenal dunia iaitu Stephen R. Covey, supaya melihat kekurangan hidup sebagai satu peluang untuk berkembang dan memperbaiki diri. ‘Kita sepatutnya menumpukan perhatian kepada jalan penyelesaian, bukan fokus kepada masalah’. Katanya dalam sebuah interview. Maka, ketika merancang masa hadapan syarikat, beliau akan menyediakan beberapa strategi untuk memastikan syarikat agar terus maju dan membangun dan kepuasan pelanggan terjamin.
Jelas sekali, kejayaan Dr Mariani berpunca daripada penyokong terbesar beliau iaitu suami dan anak-anaknya. Hal yang demikian telah menjadikan beliau terus cekal berusaha untuk berjaya demi menyediakan produk terbaik kepada pengguna DERMAGs® sekali gus memberi impak yang besar kepada masyarakat.
Pengorbanan dan titik peluh beliau ternyata membuahkan hasil apabila beliau telah dinobatkan untuk menerima lebih daripada 32 anugerah dari pelbagai pameran antarabangsa dan pertandingan. Anugerah tersebut terdiri daripada 12 medal emas, 10 medal perak dan 9 medal gangsa.
Kejayaan beliau semakin melonjak naik apabila baru-baru ini, beliau dianugerahkan 7 medal yang terdiri daripada 3 medal emas, 2 medal perak dan satu medal gangsa. Pada tahun 2017, beliau telah memenangi ‘Most Promising Innovation’ daripada Bioeconomy Innovations.
Nama beliau semakin hebat diperkatakan setelah beliau menerbitkan 32 penerbitan dipelbagai jurnal antarabangsa dan mempatenkan 7 hak cipta produk.
Sumbangan beliau dalam bidang industri kosmetik diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila beliau dianugerahkan 3 penghormatan antarabangsa dari Korea pada tahun 2013.
Kejayaan demi kejayaan, ternyata usaha tanpa putus -asa adalah elemen terpenting dalam menjalankan
perniagaan dan menjadi faktor utama untuk Dr Mariani terus berjaya.
Kini beliau adalah merupakan Ketua Unit Kosmeseutikal dan Wangian di Institut Pembangunan BioProduk di Universiti Teknologi Malaysia semenjak 2012 Beliau juga adalah pengasas kepada produk kosmetik Dermags Skin Solutions.

Dr Mariani Abdul Hamid:
B.Eng (Hons) (Chemical), Universiti Teknologi Malaysia, Malaysia
M.Eng (Bioprocess), Universiti Teknologi Malaysia, Malaysia
PhD. (Biochemical Engineering), Dongguk University, Seoul, Korea
Chief Executive Officer at BioPro Resources Sdn Bhd
Research Fellow of Cosmeceutical & Fragrance Unit Institute of Bioproduct Developement, UTM
Senior Lecturer, Bioproses Engineering Department, Faculty of Chemical & Energy Engineering, UTM
Managing Director, Biopro Resources Sdn Bhd (TUM Spin-Off Company)
Dr Mariani merupakan ketua penyelidik di Institut Pembanguan BioProduk UTM, dan telah memimpin satu pasukan yang terdiri dari segolongan penyelidik yang terdiri pemegang PhD dan juga Professor untuk menghasilkan produk-produk yang berkualiti tinggi.
Setelah berada di negara Korea selama hampir enam tahun, beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah atas kajian beliau yang kini menjadi produk penjagaan kulit jenama Dermags.
Dengan keberkesanan dan kualiti premium produk Dermags, ia di jangka akan menembusi pasaran antarabangsa menjelang awal 2018 ke Singapura, Brunei, Indonesia dan beberapa Negara Timur Tengah dan Asia Tenggara yang terpilih.
https://news.utm.my/2014/08/utm-develops-whitening-serum-from-mangosteen-skin/

